KUALA NERUS 3 Sept. – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima kemasukan 2,451 pelajar baharu bagi sesi kemasukan 2018/2019 hari ini, makin memperlihatkan ia sebagai salah sebuah institusi pendidikan tinggi pilihan utama pelajar.

Mereka yang bakal bergelar siswa ini akan mengikuti salah satu daripada 27 program pengajian peringkat ijazah sarjana muda yang ditawarkan bagi menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran sebelum memasuki pasaran kerjaya kelak.

Timbalan Naib Canselor (Akademik Dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ir Noor Azuan Osman berkata, daripada jumlah itu 65 peratus memilih aliran Sains dan selebihnya aliran Sains Sosial.

Bagi sesi kemasukan akademik 2018/2019 kali ini, sebanyak 2,893 tawaran telah dikeluarkan berbanding hanya 2,782 tawaran yang dikeluarkan pada tahun 2017/2018 dengan peningkatan sebanyak 3.8%.

 

UMT juga menawarkan peluang pengajian kepada 14 orang pelajar OKU (rabun, cacat kaki, cacat tangan, masalah pendengaran, masalah pembelajaran dan masalah pertuturan pada pendaftaran sesi ini serta turut menerima sepasang pasangan kembar yang salah seorangnya pelajar OKU.

 

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMT, Prof. Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali berkata daripada jumlah yang mendaftar pula 76 peratus adalah pelajar wanita dan 24 peratus pelajar lelaki,”

Antara keunikan yang dilakukan pihak UMT, buat julung kalinya Pusat Islam Sultan Mahmud UMT memperkenalkan ‘Caravanserai’ khas kepada ibu bapa kurang berkemampuan yang mengiringi anak-anak mereka sebagai salah satu inisiatif kebajikan.

Konsep ini menawarkan kemudahan dan perkhidmatan percuma bagi memberikan kelegaan dan meringankan bebanan mereka yang bermusafir bagi meraikan impian anak-anak melanjutkan pengajian.

Perkhidmatan Caravanserai @ Masjid UMT menyediakan kemudahan penginapan, ruang rehat, sarapan dan pemeriksaan kereta secara percuma khusus kepada ibu bapa pelajar yang datang dari jauh.

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu