UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT terima royalti lebih RM20,000 melalui aplikasi mudah alih dibangunkan penyelidik

UMT terima royalti lebih RM20,000 melalui aplikasi mudah alih dibangunkan penyelidik

Sunday, 24/07/2022

Share This Article :

Kuala Nerus 20 Julai 2022 (Rabu) – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) meterai kerjasama dengan One Team Networks Sdn. Bhd. bagi aktiviti pengkomersialan produk Aedestech Apps yang dibangunkan oleh penyelidik UMT bagi memberi manfaat kepada semua.

Penyerahan bayaran oleh One Team Networks Sdn Bhd itu dibuat melalui Pengarah Urusan One Team Networks Sdn Bhd, Lim Chee Hwa kepada Profesor ChM. Dr. Marinah Mohd Ariffin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMT.

Perjanjian pelesenan antara UMT dan One-Team Networks Sdn Bhd telah dimeterai pada Disember 2019 dan setelah itu, aktiviti pemasaran telah dibuat secara meluas oleh pihak syarikat dalam mengkomersialkan produk tersebut yang mana ia telah memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat. Produk ini telah dibangunkan oleh Prof. Madya Dr.  Mustafa Man yang telah menjalankan kajian dalam pembangunan aplikasi mudah alih (mobile apps) yang memfokuskan kepada pemantauan telur nyamuk aedes menggunakan pendekatan image processing.

 

One Team Networks Sdn Bhd telah berjaya mencapai hasil jualan sebanyak RM677,639.00 bagi tempoh dua tahun.  Melalui hasil jualan itu juga, UMT menerima royalti berjumlah RM20,329.17 yang akan diagihkan kepada penyelidik dan UMT. Produk ini dijangka dapat menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa pada masa akan datang khususnya negara asia.

 

Usaha mempergiatkan aktiviti pengkomersialan itu adalah sangat perlu bagi membantu universiti menampung kos pengurusan serta mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan seiring Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi). 

 

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah UMT, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh serta pegawai-pegawai utama UMT.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu