UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

NILAI AIR UNTUK KEHIDUPAN

NILAI AIR UNTUK KEHIDUPAN

Tuesday, 16/06/2020

Share This Article :

Air merupakan elemen penting dalam kehidupan manusia dan makhluk di bumi secara keseluruhannya. Bukan kerana itu sahaja, fungsi air juga penting dalam menjana pelbagai bidang ekonomi seperti pertanian, perindustrian, perikanan dan penjanaan sumber tenaga elektrik dan sebagainya.

Asal mula air itu bersih yang keluar dari mata air dan digunakan untuk bersuci atau membersihkan segala sesuatu dari kotoran.

Seperti yang kita sedia maklum, hampir tiga perempat daripada permukaan bumi adalah kawasan berair. Begitu juga dengan tubuh manusia di mana 70% daripada komposisi tubuh manusia adalah air.

Bagaimana sekiranya kita tidak menguruskan sumber terpenting itu dengan baik? Pastinya pelbagai bentuk kemusnahan yang telah berlaku tanda protes oleh bumi disebabkan kerakusan manusia dalam mengubah ekosistem semulajadi bumi dek desakan arus pemodenan seperti aktiviti pembalakan secara tidak terkawal, projek perumahan, Bandar baharu dan sebagainya.

Ketidak acuhan kita sebenarnya menggambarkan nilai kita terhadap sumber air tersebut. Walaupun manusia amat memerlukan air, namun meletakkan nilai yang amat rendah terhadap sumber tersebut. Malah dalam banyak keadaan kita menilai air mahupun sumber alam yang lain berdasarkan kepentingan diri manusia semata-mata tanpa memikirkan rantaian kepentingan kepada hidupan lain di sekeliling.

Seharusnya kita sebagai manusia perlu melakukan sesuatu dalam menjaga sumber air walaupun impaknya sekecil pasir bencana alam atau krisis air dapat dielakkan daripada berulang atau setidak-tidaknya mengurangkan impaknya. Antara tugas dan tanggungjawab kita sebagai pengguna yang paling utama ialah menjimatkan air.

Saranan oleh YBhg. Prof. Ir. Dr. Ahmad Jusoh, Profesor Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Informatik UMT semasa program Bual Bicara Profesor berkaitan air adalah dengan optimumkan penggunaan air hujan.

“Air hujan juga boleh digunakan untuk siraman tanaman di halaman rumah, mencuci kenderaan dan lain-lain. Selain itu, boleh juga menggunakan Sub Surface Filtration System (SSFS) yang mana saya sendiri lakukan di rumah di bahagian parking kereta. Kita boleh merawat air dari tangki septik untuk kegunaan lain di rumah dan ia telah berfungsi selama 20 tahun di kediaman saya.

Tambah beliau, UMT juga telah laksanakan projek Loji Nyahgaram di Pantai Senok, Bachok beberapa tahun dahulu bagi kegunaan penduduk dikawasan tersebut.

“Kita telah lakukan penyelidikan dan usaha sama dengan beberapa agensi dan hasilnya adalah kita berjaya tukarkan air payau kepada air bersih dengan ambil air laut di pantai berkenaan dan dinyahgaramkan. Alhamdulillah, sekitar 3,000 penduduk kawasan berkenaan boleh nikmati air bersih dan seterusnya dapat merancakkan lagi ekonomi dengan pembukaan gerai makanan dan sebagainya”.

Justeru itu, kita sebagai makhluk tuhan yang dikurniakan akal haruslah memainkan peranan dengan memupuk kesedaran kepentingan serta nilai air dan juga memastikan ekosistem semulajadi sentiasa berada dalam keadaan baik agar kawasan sumber air dan alam sekitar akan terus sesuai untuk kehidupan sejagat.

 

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu