UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Manfaat hasil R&D jana pendapatan universiti

Manfaat hasil R&D jana pendapatan universiti

Monday, 06/11/2023

Share This Article :

Harta intelek merupakan sumber alternatif dalam usaha mencari penyelesaian menangani isu kekurangan dana bagi mendepani situasi yang tidak dijangka akan datang. Ia perlu dilihat sebagai sumber kekayaan baharu yang mampu menjana ekonomi pencipta produk berkenaan dan menyumbang kepada institusi terlibat khususnya universiti secara amnya.

Malaysia berada pada kedudukan kedua paling berinovatif dalam kalangan 36 negara Kumpulan Berpendapatan Sederhana Atasan dan negara kedua selepas Singapura dalam kalangan negara ASEAN.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata aktiviti pengkomersilan harta intelek hasil daripada kajian, penyelidikan dan inovasi (R&D) yang dijalankan penting dalam mengekalkan kelestarian kewangan universiti.

“Bagi tahun 2023, UMT telah berjaya mendaftarkan sebanyak 60 jumlah hak harta intelek dimana 40 produk didaftarkan sebagai hak milik, 13 harta intelek sebagai rahsia dagangan, empat paten yang didaftarkan dan selebihnya adalah lain-lain harta intelek.

“Usaha mempergiatkan aktiviti pengkomersialan ini adalah sangat perlu bagi membantu universiti dalam menampung kos pengurusan dan penganjuran aktiviti.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian Pelesenan antara UMT dan enam syarikat pemula iaitu Ocean Hydro Sdn Bhd, Conservation Management Solutions Sdn Bhd, SR Neotech Sdn Bhd, WMM Marketing, Big Bee Honey Sdn Bhd dan K Bees Sdn Bhd.

Katanya, usaha itu sebagai menyokong pihak kerajaan mensasarkan universiti awam menjana pendapatan sendiri dan pengurangan sebanyak 10-20% peruntukan oleh kerajaan secara berperingkat sepertimana yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

Menurutnya, UMT mempunyai lebih 600 hak harta intelek yang berpotensi untuk diketengahkan.

“UMT juga mempunyai sembilan buah syarikat pemula (start-up) yang didaftarkan oleh penyelidik bagi mengkomersialkan hasil penyelidikan mereka.

“Setakat ini UMT mempunyai lebih 686 hak harta intelek yang terdiri daripada paten, rekacipta industri, utiliti inovasi, cap dagangan, hak milik dan rahsia dagangan.

Selain itu, katanya, UMT juga mempunyai banyak produk berpotensi yang boleh dikomersialkan segera dengan Tahap Ketersediaan Teknologi (Technology Readiness Level (TRL) dari skala 4 hingga 8.

Tambahnya, UMT telah berjaya mencapai hasil pengkomersialan melalui perjanjian pelesenan berjumlah RM200,000.00.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen dan kerja keras penyelidik UMT menjadikan penyelidikan akademik kami berguna untuk komuniti yang lebih luas dan kami telah berjaya mengubah pengetahuan menjadi produk dan perkhidmatan yang boleh membawa manfaat sebenar kepada masyarakat”. Katanya.


Sementara itu, Malaysia kekal pada kedudukan ke-36 daripada 132 negara dalam laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2023 dengan mencatatkan peningkatan skor kepada 40.9 tahun 2023 berbanding 38.7 pada tahun lalu.

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat
Universiti Malaysia Terengganu