UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

KOLABORASI UMT DAN ALS TECHNICHEM TINGKATKAN KELESTARIAN LAUT

KOLABORASI UMT DAN ALS TECHNICHEM TINGKATKAN KELESTARIAN LAUT

Thursday, 17/09/2020

Share This Article :

Putrajaya, 17 September- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus mengorak langkah dalam meningkatkan kelestarian lautan melalui pertukaran MOA bersama ALS Technichem (Malaysia) Sdn. Bhd. Kolaborasi ini merupakan usahasama Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM) dan Pusat Pemindahan Ilmu dan Jaringan Industri (PPIJI).

Menurut Naib Canselor UMT Profesor Dato` Dr. Nor Aieni Binti Haji Mokhtar kolaborasi UMT dan ALS Technichem bertujuan untuk meningkatkan inovasi dalam mengenalpasti polimer mikroplastik yang membawa ancaman terhadap ekosistem lautan.

“Pencemaran mikroplastik dalam ekosistem laut telah menjadi masalah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Dasar laut menjadi tempat terkumpulnya mikroplastik dan keadaan ini adalah sangat tidak sihat serta mengganggu rantaian makanan sehingga mungkin menimbulkan kesan buruk kepada manusia dan hidupan laut”.

“Sesuai dengan fokus utama universiti ilmu kelautan dan sumber akuatik, isu mikroplastik adalah salah satu fokus penyelidikan utama kami di UMT. Ini adalah sebahagian daripada sumbangan UMT untuk SDG 14 (Kehidupan Di Bawah Air)”. Tambahnya.

Jelasnya lagi kolaborasi penyelidikan antara UMT dan ALS Technichem (M) sangat penting untuk memahami penyebaran dan sumber mikroplastik dan penyelidikan secara mendalam tentang punca dan kesan terhadap ekosistem. Ini juga akan membantu pihak kerajaan menangani masalah ini di peringkat nasional dan global, kerana ia turut menyokong usaha kerajaan dalam Sustainable Development Goal (SDG).

Ujarnya lagi dalam penyelidikan mikroplastik, UMT melalui Microplastic Research Interest Group (MRIG) turut menjadi rakan NAHRIM, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI), Taman Laut Jabatan Perikanan dan juga WWF Malaysia.

Melalui MRIG, UMT juga turut berkolaborasi dengan IOC-WESTPAC dan Pusat Latihan dan Penyelidikan Serantau UNESCO / IOC mengenai Serpihan Laut dan Mikroplastik (RTRC-PMDMP) East China Normal University, Shanghai; LIPI (Institut Sains Indonesia) Ambon Indonesia; Universiti Nasional Singapura dan Universiti Prince Songkhla, Thailand, dalam penyelidikan mikroplastik dan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai ancaman pencemaran plastik di lautan.

Mengulas lanjut tentang perkara tersebut, beliau berkata kerjasama ini turut memberi peluang kepada pensyarah UMT untuk membuat kajian secara lebih mendalam berkaitan mikropalstik di lautan.

Mengakhiri ucapannya Profesor Dato` Dr. Nor Aieni berkata UMT menyambut baik kerjasama dengan industri kerana penglibatan industri adalah menyokong Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

UMT telah bekerjasama dengan ALS Technichem (Malaysia) Sdn. Bhd, terutama dalam aktiviti akademik, seperti program Latihan Industri sejak 2012. Selama dua tahun terakhir, UMT telah memperkenalkan “Program Industry in Classroom” di mana pakar dari industri dijemput untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka dengan pelajar UMT.

UMT merasa teruja kerana mendapat sokongan daripada ALS Technichem dalam program ini dan beberapa alumni dari UMT telah direkrut sebagai ahli kimia, QA dan QC untuk syarikat tersebut. Menurut Pengurus Besar ALS Technichem (Malaysia) Dr. Chin Teen Teen, pencemaran mikroplastik menjadi lebih serius berikutan daripada pandemik Covid-19 kerana dikatakan bahawa lebih 12 ribu tan sisa buangan berasaskan plastik seperti penglitup muka, penghadang muka, dan sarung tangan dibuang setiap hari. “Sebahagian daripada bahan sisa Covid-19 ini memerlukan hampir 400 tahun untuk didegredasi sepenuhnya, oleh itu kerjasama penyelidikan yang dirancang ini turut memfokuskan isu seperti ini”, tambah Dr.Chin.

Majlis penyerahan dokumen MOA ini diadakan di Pusat Komunikasi Strategik, UMT Putrajaya turut dihadiri oleh Encik Mohd Azli Mohd Zin, Pengurus Kanan Undang-Undang, Kesetiausahawan dan Pembangunan Insan mewakili Ketua Pegawai Operasi Progressive Impact Corporation Berhad, Dr. Chin Teen Teen Pengurus Besar ALS Technichem (Malaysia) Sdn Bhd serta pegawai-pegawai utama UMT.

 

Keterangan lanjut sila hubungi:

Dr. Tuan Nurul Sabiqah binti Tuan Anuar
Pensyarah
Kimia Analisis dan Persekitaran
Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM)

Tel: 09-668 3723/ 0 19-272 3430
Emel: sabiqahanuar@umt.edu.my

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu