UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Sistem zakat diperkenalkan UMT ringan beban asnaf pelajar baharu

Sistem zakat diperkenalkan UMT ringan beban asnaf pelajar baharu

Tuesday, 11/10/2022

Share This Article :

Kuala Nerus, 10 Oktober 2022 – “Saya sangat gembira dan bersyukur atas sumbangan yang diberikan oleh pihak Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terutamanya Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) UMT”. Kata Nurul Izzati Norlia@Zulkifli, 20, pelajar program Sarjana Muda Sains Gunaan (Perikanan), Fakulti Perikanan dan Sains Makanan UMT.

 

Katanya, sumbangan itu amat besar nilai buat dirinya dalam meneruskan hasrat murni menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti berkenaan.

 

“Pada awalnya, saya menolak tawaran sambung pengajian itu disebabkan faktor kewangan. Ditambah pula perlu menjaga dan menanggung dua adik yang masih bersekolah.

 

“Namun, setelah mendapat kunjungan daripada pihak PISM UMT, semangat untuk meneruskan perjuangan semakin berkobar-kobar apabila ditawarkan biasiswa dan saya merasakan ini peluang terbaik untuk saya mengubah nasib”.

 

Ujar anak sulung dari tiga adik-beradik itu, kehidupan adik-beradiknya hanya menumpang dirumah ibu saudaranya selepas pemergian kedua-dua ibu bapa sejak tiga tahun lalu.

 

Turut berkongsi kegembiraan iaitu Mohd Sharul Zakaria, 20, pelajar program Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) yang juga penerima sumbangan zakat Dermasiswa Al-Ikhlas UMT.

 

“Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada UMT atas sumbangan yang diberikan. Ia benar-benar membantu golongan seperti saya dalam penyediaan keperluan ketika pendaftaran ke kampus”

 

“Keadaan ayah yang mempunyai penyakit jantung dan hanya menggunakan alat bantuan menyebabkan tidak boleh melakukan sebarang pekerjaan berat bagi menampung saya dan lima adik beradik”.

 

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata pihaknya amat peka akan nasib pelajar asnaf.

 

“Fasa pemulihan pandemik juga merupakan fasa yang sukar bagi golongan B40 dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Oleh itu, pelan pembangunan asnaf telah dirancang dan dilaksanakan dengan memperkenalkan program AsnafXChange, AsnafPLUS dan AsnafPro.

 

“Bagi pendaftaran pelajar baharu kali ini seramai 500 orang asnaf pelajar telah terpilih untuk menerima Dermasiswa Al-Ikhlas sebanyak RM500 seorang dan jumlah keseluruhannya ialah sebanyak RM250,000.00”.

 

Menurutnya, kesedaran kempen sistem potongan zakat “Cukai Kepada Zakat” (C2Z) yang diperkenalkan sebelum ini telah mula menampakkan hasil dan kecaknaan warga UMT dalam mebantu asnaf patut mendapat pujian apabila jumlah kutipan kali ini meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun lalu.

 

“Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas serta mengalu-alukan kedatangan pelajar untuk menjadi sebahagian daripada warga UMT”. Katanya ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Zakat Dermasiswa Al-Ikhlas di Dewan Sultan Mizan UMT, hari ini.

 

UMT menerima sejumlah 2,149 pelajar baharu bagi sesi pengambilan 2022/2023 yang terdiri daripada 646 pelajar lelaki dan 1,503 pelajar perempuan.

 

Universiti yang tidak asing dengan bidang maritim dan sumber akuatik itu terus komited untuk menjadi sebuah universiti berfokus marin terunggul dalam negara dalam usaha menterjemahkan ilmu untuk kelestarian alam dan kesejahteraan masyarakat.

 

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu