UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT sasar universiti berdaya saing diperingkat global

UMT sasar universiti berdaya saing diperingkat global

Monday, 19/2/2024

Share This Article :

Kuala Nerus, 18 Februari 2024 – “lima fokus utama yang perlu dicapai sepanjang tahun 2024 iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara, Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi, Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu, Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi dan Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya”. Kata Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar ketika berucap menyampaikan sasaran baharu sempena Majlis Amanat Naib Canselor 2024 yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan UMT, hari ini.

 

Beliau menegaskan sebarang tindakan pelaksanaan melibatkan program baharu perlu mengangkat bidang kebitaraan yang menjadi tunjang utama UMT.

 

“Lima fokus utama ini amat penting untuk dihayati oleh warga UMT sebagai langkah strategik untuk memperkukuhkan peranan UMT sebagai universiti awam dalam berhadapan dengan cabaran globalisasi pendidikan tinggi pada masa sekarang.

 

“Walaubagaimanapun, dalam pelaksanaan sebarang aktiviti mahupun program, warga UMT perlu mengangkat kebitaraan UMT dalam bidang Ilmu Kelautan dan Sumber Akuatik seiring dengan peranan dan tanggungjawab UMT dalam membantu komuniti dan pembangunan negara”.

 

Katanya, beberapa pusat baharu diwujudkan dalam usaha memperkasakan sinergi serta strategi bagi meletakkan UMT sebagai sebuah pusat rujukan oleh badan kerajaan mahupun agensi luar negara.

 

“Dalam konteks penyelidikan, UMT akan membangunkan Marine Portal Database sebagai pusat rujukan ilmu kelautan negara dan badan antarabangsa yang akan digerakkan oleh Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS)”


“Agenda pengantarabangsaan program akademik akan dikembangkan melalui penawaran program dual degree  dengan perkongsian pintar bersama Peninsula College sebagai feeder untuk dual degree program di antara UMT dan Plymouth University. Kerjasama ini bakal menjadi sejarah baharu dalam program pengantarabangsaan akademik selain penawaran program akademik berkualiti melalui open and distance learning (ODL) yang diletakkan di bawah pusat baharu iaitu UMT Life”.

 

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga bakal menubuhkan Pusat Aktiviti Komuniti UMT (PAKU) dalam usaha merancakkan kepelbagaian projek pemindahan ilmu dengan disokong oleh Pusat Ekonomi Biru atau Blue Economy Advancement Centre (UMT-BEACON) yang juga pusat baharu sebagai pemudahcara dan penggerak utama program pemindahan ilmu melalui projek bersesuaian kepada komuniti selaras dengan aspirasi KPT untuk menjadikan universiti untuk masyarakat.

 

Walaupun dunia mengalami pelbagai krisis termasuk ketidaktentuan ekonomi yang turut melanda negara, Dr. Mazlan berkata, pihaknya telah menggariskan beberapa langkah bersesuaian dalam penyediaan dana khas bagi meletakkan peranan universiti sebagai pusat aktiviti R&D negara.

 

“Walaupun UMT terkesan dengan kekangan kewangan, namun aspek penyelidikan terus diberi keutamaan. Justeru, UMT kekal komited memberikan sokongan dan galakan kepada warga penyelidik pada semua peringkat terutamanya penyelidik muda dengan memperuntukan Dana Khas Geran Dalaman Penyelidikan dan Inovasi sebanyak RM2.5 juta”.

 

Ujar Prof. Dato’ Dr. Mazlan, pembangunan dan mutu mahasiswa sebagai produk keluaran UMT merupakan aspek utama dalam melahirkan generasi dinamik yang bakal memimpin negara seiring perubahan semasa dan era digital.

 

“UMT merupakan institusi pembina generasi masa hadapan negara, dengan itu, tanggungjawab pembangunan dan pemerkasaan mahasiswa akan terus diberi penekanan malah keutamaan selari dengan Falsafah Pendidikan Negara yang berhasrat melahirkan generasi pelajar yang bersifat kalis masa hadapan (future ready and future proof students) dan memiliki daya tahan dalam menghadapi tantangan globalisasi serta bersedia untuk berbakti terhadap keharmonian dan kemakmuran negara”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu