UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Isu perubahan iklim memerlukan kerjasama semua pihak

Isu perubahan iklim memerlukan kerjasama semua pihak

Monday, 22/4/2024

Share This Article :

Mutakhir ini msyarakat sering merungut dan berasa tidak selesa ekoran ketidaktentuan cuaca yang sedang melanda negara dan dunia. Panas yang membahang di siang hari sehingga ada kawasan yang mencecah suhu melebihi 40 darjah celsius bukan sahaja meletihkan, malah bahang haba itu turut mengganggu tidur malam bagi sesetengah orang yang tiada kemudahan pendingin hawa.

 

Terdapat juga kawasan yang menerima hujan lebat diluar jangkaan seolah tidak lagi mengikut iklim negara sepertimana sebelum era 90an. Disingkap kembali, banjir besar hanya melibatkan beberapa negeri khususnya di pantai timur semenanjung disebabkan peralihan monsun timur laut pada sekitar November, namun kini boleh dikatakan hampir kesemua negeri dilanda banjir

 

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, ciri-ciri iklim Malaysia mempunyai suhu yang seragam, kelembapan yang tinggi dan hujan yang banyak. Malaysia yang terletak di kawasan doldrum khatulistiwa amat jarang sekali mempunyai keadaan langit tidak berawan langsung meskipun pada musim kemarau teruk. Malaysia juga jarang sekali mempunyai satu tempoh beberapa hari dengan tidak ada langsung cahaya matahari kecuali pada musim monsun timur laut.

 

Kini dunia telah mula sedar akan perubahan iklim yang mendadak serta saintis juga turut mendedahkan maklumat berkaitan fenomena pencairan glasier yang begitu ketara berlaku di benua Antartika yang memberi kesan besar terhadap perubahan iklim sejagat.

 

Pelbagai usaha giat dijalankan termasuk kajian berkaitan keseimbangan aktiviti pembangunan dengan mengambilkira beberapa aspek penting bagi melindungi planet bumi agar kekal lestari.

 

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata usaha kelestarian bumi harus dilakukan secara berterusan dan memerlukan penglibatan semua pihak.

 

“Lautan kita yang kaya dengan hidupan marin dan keajaiban ini telah lama menjadi talian hayat kepada planet kita. Kini ia berdepan dengan pelbagai cabaran dan kemusnahan akibat perbuatan manusia seperti pembuangan sisa pepejal, toksik, pencemaran plastik, penerokaan kawasan baharu yang tidak terkawal serta lain-lain.

 

“Kami di UMT sememangnya akui kepentingan tindakan kolektif dan kerjasama antara ahli akademik dan agensi kerajaan serta NGO dalam mencari solusi serta langkah terbaik dalam memastikan ekosistem alam sekitar terus kekal lestari”. Katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian National Marine Litter Inventory and Marine Litter Hotspots Programme yang berlangsung di Dewan Konferensi UMT, Kuala Nerus.

 

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kelestarian Alam), Datuk Nor Hayati Awang dan juga Felo merangkap Ketua Pusat Selat Melaka, Institut Maritim Malaysia, Cheryl Rita Kaur.

 

Lebih membimbangkan kini ialah kesan daripada pembuangan bahan plastik turut menghasilkan partikel plastik yang dikelaskan sebagai mikroplastik. Ia terhasil daripada serpihan kecil plastik tergredasi, fiber sintetik dan partikel halus plastik, secara kolektif yang lebih sukar dikesan dan tidak mampu dilihat melalui mata kasar.

 

Menurut penyelidik mikroplastik Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr. Yusof Shuaib Ibrahim, plastik memerlukan tempoh masa yang sangat lama untuk terurai.

 

“Plastik yang dibuang oleh manusia akan hanyut ke lautan dan ia tidak terurai atau hilang begitu sahaja, malah proses tindak balas yang mengambil masa lama akan menghasilkan mikroplastik dan akhirnya dimakan oleh hidupan marin”.

 

Katanya, lautan menyumbang besar kepada kestabilan kitaran ekosistem dan perubahan iklim dunia.

 

“Lautan bertindak sebagai penyerap haba dan karbon bagi mengimbangi perubahan iklim. Ia juga mengawal suhu, arus serta kenaikan paras air laut.

 

“Sekiranya laut terus dibebani dengan pelbagai pencemaran, ia akan mengganggu ekosistem marin, menjejaskan hidupan, biodiversiti dan seterusnya memberi kesan langsung terhadap iklim global”.

 

Sebagai sebuah universiti berfokus marin, UMT sentiasa menggerakkan inisiatif dalam usaha melindungi ekosistem marin dan alam sekitar khususnya dengan penganjuran Minggu lautan Sedunia sempena sambutan Hari Lautan sedunia pada 8 Jun setiap tahun.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu