UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

KTIRAF PERANAN PELAUT SEBAGAI TONGGAK KELANGSUNGAN PERDAGANGAN MARITIM DUNIA

KTIRAF PERANAN PELAUT SEBAGAI TONGGAK KELANGSUNGAN PERDAGANGAN MARITIM DUNIA

Sunday, 27/06/2021

Share This Article :

Umum mengetahui bahawa pembangunan ekonomi dunia bergantung kepada aktiviti perdagangan maritim. Menurut laporan daripada Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), sebanyak 80% daripada keseluruhan jumlah perdagangan global adalah melalui pengangkutan laut.

 

Perkapalan, pelayaran dan pelaut adalah elemen utama dalam aktiviti perdagangan maritim dan saling bergantung antara satu sama lain. Pelaut adalah komuniti yang menggerakkan sektor perkapalan dan bertanggungjawab memastikan kelancaran operasi pelayaran untuk membawa pelbagai jenis barangan termasuklah bahan api, makanan dan ubat-ubatan. Boleh dikatakan bahawa industri maritim tidak akan bermakna dan sempurna tanpa pelaut.

 

Sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kepada sumbangan pelaut dalam memastikan kelancaran rantaian bekalan global, Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) telah menetapkan tarikh 25 Jun sebagai Hari Pelaut Sedunia. Ketetapan ini telah dimuktamadkan dalam Persidangan Konvensyen Antarabangsa Piawaian Latihan, Pensijilan dan Pengawasan untuk Pelaut (STCW) pada tahun 2010 di Manila, Filipina.

 

IMO telah memilih untuk menjadikan tahun 2021 sebagai tahun cakna warga pelaut memandangkan pelaut adalah antara komuniti terbesar dalam industri maritim yang terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda sejak 2020. Selepas lebih setahun berlalu, kesan pandemik ini masih dirasai dimana pelaut menjalani kehidupan yang sukar berikutan sekatan sempadan antarabangsa yang menghalang pertukaran kru kapal.

 

Selain itu, ada pelaut yang terperangkap di atas kapal selepas tamat kontrak kerana proses penghantaran pulang ke negara asal tidak dapat dijalankan berikutan sekatan perjalanan. Perkara ini telah menganggu kesejahteraan fizikal, mental, dan emosi pelaut. Untuk menangani permasalahan ini, pelaut wajar diiktiraf sebagai anggota barisan hadapan kerana peranannya yang besar dalam memastikan rantaian bekalan global tidak terjejas.

 

Justeru, tema Hari Pelaut Sedunia 2021 yang ditetapkan adalah ‘Fair future for Seafarers’. Tema ini bertepatan dengan perjuangan dalam menuntut keadilan dan kesamarataan hak berikutan kekangan dan cabaran yang dihadapi oleh pelaut.  Tema ini menuntut semua pihak yang berkepentingan dalam industri maritim untuk memikul tanggungjawab bersama dalam memastikan masa depan yang adil bagi pelaut.

 

Sebagai negara anggota IMO Kategori C, Malaysia juga turut serta dalam meraikan sambutan Hari Pelaut Sedunia.  Sambutan Hari Pelaut Sedunia pada tahun ini agak istimewa kerana Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong telah melancarkan skim pemberian vaksin kepada sektor pengangkutan laut melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

 

Inisiatif pemberian vaksin ini dilihat sebagai tanda sokongan kerajaan terutamanya Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Jabatan Laut Malaysia kepada 10,000 pelaut dan petugas pelabuhan yang tidak mengenal erti penat dan lelah dalam menabur khidmat bakti kepada negara.

 

Terdahulu, Ikhtisas Kelautan Malaysia (IKMAL) telah mengesyorkan kepada Khairy Jamaluddin yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan agar pelaut negara perlu diberi keutamaan menerima vaksin agar pelaut dapat kembali berkhidmat di laut.

 

Usaha ini juga diyakini dapat membantu pelaut yang untuk kembali ke laut dan seterusnya dapat mengekalkan kelestarian sektor perkapalan dan pelabuhan negara. Sesungguhnya pelaut adalah perwira di lautan dan tanpa pelaut, perdagangan maritim dunia akan lumpuh.

 

Disediakan oleh :

 

Dr. Izyan Munirah Mohd Zaideen

Pensyarah Kanan

Fakulti Pengajian Maritim

Universiti Malaysia Terengganu.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu