UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

KERJASAMA UMT-APMM

KERJASAMA UMT-APMM

Tuesday, 25/02/2020

Share This Article :

23 Februari, Kuantan – Pelajar UMT khususnya Kadet Nautika UMT berpeluang menaiki kapal APMM dan melihat pelbagai fasiliti, kemudahan dan perancangan APMM dengan lebih dekat sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Ke-15 Maritim Malaysia dan Perbarisan Tamat Latihan Leftenan Muda (M) Siri 10/2019 dan Laskar Kelas ii(M) Siri 15/2019.

 

Di samping itu, Naib Canselor UMT bersama Jabatan Kokurikulum Berkredit PPAL, UMT akan menawarkan kursus berkredit berkaitan maritim, alam sekitar, kemasyarakatan serta pengetahuan maritim termasuklah sains nautika dan pengurusan maritim.

 

Pengambilan Pasukan Kadet Maritim (PASKAM) akan dibuka kepada pelajar-pelajar ambilan 2020/2021di dalam Badan Beruniform untuk tujuan tersebut. Untuk sesi tersebut, seramai 50 hingga 80 orang kadet PASKAM akan diambil dengan peruntukan sebanyak RM300K telah disalurkan bagi pemerkasaan holistik pelajar selaras dengan persefahaman APMM dan UMT.

 

Selaku Naib Canselor UMT dan merangkap Komandan PALAPES Laut UMT, kerjasama erat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah membawa kepada pentauliahkan mahasiswa kadet PALAPES sebagai Leftenan Muda Pasukan Simpanan Sukarela TLDM (PSSTLDM). Selain itu, beberapa orang pegawai muda tersebut telah berjaya menjawat jawatan sebagai Pegawai Graduan (Graduate Officer) dalam perkhidmatan TLDM dan Tentera Darat.

 

Sejajar dengan bidang kelautan dan sains marin yang telah dipertanggungjawabkan kepada UMT, pembangunan bakat dapat disalurkan demi kepentingan pertahanan negara dan pihak UMT amat berbangga kerana seorang graduan UMT dari PALAPES Laut telah berjaya terpilih dan melepasi kursus Asas Komando Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang difahami memerlukan semangat juang dan ketahanan mental dan fizikal yang tinggi untuk melepasinya. Kini beliau berkhidmat di Kapal Diraja Panglima Hitam (KD Panglima Hitam), Lumut sebagai pegawai PASKAL.

 

Naib Canselor UMT memandang positif kerjasama yang terjalin bersama APMM ini dalam usaha melahirkan graduan dan anggota yang setaraf dengan TLDM. Beliau juga percaya usaha ini menguntungkan negara selaras dengan hasrat kerajaan melahirkan lebih ramai lagi graduan yang kompetitif.