UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Teknologi kimia perlu diperluas demi kelestarian alam

Teknologi kimia perlu diperluas demi kelestarian alam

Wednesday, 07/09/2022

Share This Article :

Malaysia sememangnya kaya dengan kepelbagaian sumber semulajadi. Peningkatan populasi seiring dengan kepesatan pembangunan secara langsung memberi tekanan terhadap permintaan sumber-sumber semulajadi. Perkembangan industri kimia negara juga dilihat berupaya mengurangkan penggunaan sumber dengan bantuan teknologi terkini. Secara tidak langsung ia memenuhi permintaan dengan kadar penggunaan sumber secara minima.

 

Rata-rata barangan atau produk dihasilkan melalui proses kimia. Kimia dan proses kimia digunakan secara meluas dalam sektor pembuatan, perkilangan, farmaseutikal, automotif, industri minyak dan gas, elektrikal dan lain-lain. Permintaan yang meningkat saban tahun bukan sahaja memberi kesan terhadap pengurusan sumber, malah ia menjadi penyumbang utama kepada kemerosotan alam.

 

Para saintis seluruh dunia sedar akan penurunan tahap ‘kesihatan’ alam sekitar kesan daripada aktiviti proses kimia. Pelbagai gerak kerja telah disusun dan ramai juga sedang mengkaji kaedah terbaik bagi merangka langkah-langkah pemulihan tanpa menjejaskan permintaan dalam semua sector.

 

Negara pernah digemparkan dengan pencemaran sungai di Pasir Gudang yang berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa kimia ke dalam sungai yang mengakibatkan sebahagian besar penduduk kawasan tersebut mengalami masalah kesihatan seperti sukar bernafas, gangguan system saraf, kulit dan loya yang memerlukan rawatan lanjut di hospital.

 

Perkara seperti ini perlu dipandang serius dan tindakan drastik harus diambil bagi memastikan perkara seumpamanya tidak berulang dan ia memerlukan jaminan daripada pihak berwajib.

 

Antara medium terbaik dalam mengumpulkan ahli kimia dan saintis adalah menerusi persidangan antarabangsa. Terkini, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan 34th International Conference of Analytical Science (SKAM34) bagi mencari solusi terbaik melalui penemuan baharu yang telah dijalankan oleh para akademia dari seluruh pelusuk dunia. Dengan mengetengahkan tema ‘Designing Tomorrow: Exploring New Chemistry Breakthrough During Pandemic Era’, persidangan itu Berjaya menarik minat hampir 150 peserta yang terdiri daripada universiti, industri, organisasi kerjaan dan bukan kerajaan.

 

Penganjuran itu merupakan medan perkongsian penemuan baharu tentang penyelidikan dan aplikasi terkini dalam bidang penyelidikan berkaitan sains analisis dan kimia selain membina rangkaian penyelidikan baharu di peringkat antarabangsa.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata persidangan itu penting bagi melihat trend kimia sepanjang dunia dilanda wabak Covid19.

 

“Seperti yang kita ketahui, COVID19 telah membawa kesan yang besar di seluruh dunia yang menjejaskan pelbagai sektor dengan ketara.

 

“Oleh itu, penganjuran ini penting bagi melihat perbezaan dan perbandingan ketika dunia dilanda pandemik dan segala penemuan baharu yang dikongsikan dijadikan sebagai sumbangan dari ahli kimia untuk memberi input terbaik yang mungkin mampu menyumbang kepada amalan terbaik bagi mencegah dan memperlahankan penularan wabak.

 

“Universiti Malaysia Terengganu akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik dalam menyokong dan menawarkan perkhidmatan dan kepakaran yang dimiliki untuk manfaat manusia di peringkat global. Kami mengalu-alukan kerjasama dengan komuniti, industri, agensi, universiti serta entiti lain yang berkaitan untuk menjalinkan rangkaian kolaborasi untuk manfaat bersama”. Katanya ketika berucap sempena 34th International Conference of Analytical Science (SKAM34) di Kuala Terengganu baru-baru ini.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu