UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT bakal tubuh Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air pertama

UMT bakal tubuh Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air pertama

Tuesday, 09/11/2021

Share This Article :

Stesen Penyelidikan Alami Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Pulau Bidong yang dahulunya hanya sebagai platform pengajaran dan pembelajaran berkaitan kajian marin telah mengorak langkah kehadapan untuk dijadikan Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air Pertama.

 

Inisiatif itu telah diumumkan oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd Ghaffar sempena Program ASEAN Underwater Mini Landmark di Pulau Bidong.

 

Menurut beliau Pulau Bidong mempunyai nilai sejarah tersendiri melibatkan aktiviti perdagangan dan laluan utama kapal-kapal dagang dari pelbagai negara termasuk yang telah karam sejak kurun ke 15.

 

“UMT amat berterima kasih kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) kerana memilih Pulau Bidong sebagai lokasi untuk menurunkan tukun mercu tanda negara-negara ASEAN sebagai simbol perpaduan.

 

“Pemilihan Pulau Bidong sebagai tapak projek pelaksanaan Program ASEAN Mini Landmark Underwater bersesuaian kerana kawasan ini mempunyai identifikasi artifak kapal karam, warisan semulajadi dan warisan sejarah. Ia juga merupakan tarikan baharu buat pelancong dan amat sesuai diangkat sebagai Pusat Penyelidikan Arkeologi Bawah Air iaitu pusat latihan untuk ASEAN malah akan turut  dijadikan sebagai Pusat Latihan Marin Malaysia.

 

“Penemuan kapal karam ‘The Bidong Shipwreck’ telah membuka lembaran baharu dalam sejarah penyiasatan kapal karam di Malaysia. Ini termasuk maklumat tentang jumlah kapal karam di Laut China Selatan, punca kapal karam, teknologi pembinaan kapal dan perjalanan operasi kapal.

 

“Kami di UMT amat berharap agar inisiatif untuk menubuhkan Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air yang pertama seumpamanya mendapat sokongan dari pelbagai pihak.

Tambah beliau, pusat latihan yang bakal ditubuhkan itu turut dijadikan pusat selaman rekreasi.

 

“Pusat penyelidikan di bawah seliaan UMT amat terkenal dengan rekreasi selaman skuba. Pelbagai arca telah diletakkan di perairan pulau ini yang dikenali sebagai ‘Underwater Gallery’. Penubuhan Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air ini juga menjadi kemudahan latihan untuk aktiviti selam skuba di Pulau Bidong.

 

Ujarnya, peluang kolaborasi antara penyelidik UMT dan penyelidik di negara-negara ASEAN terbuka luas.

 

“Dengan adanya Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air, penyelidik negara-negara ASEAN boleh bekerjasama membuat kajian mengenai muatan serta artifak yang ditemui di tapak kapal karam Pulau Bidong yang mempunyai nilai sejarah warisan negara masing-masing.

 

Antara mercu tanda yang menjadi tarikan baharu di Pulau Bidong khas untuk aktiviti selam skuba ialah Brunei Darussalam- Mosque of Sultan Haji Omar Ali Saifuddien, Cambodia- Independence Monument Indonesia- National Monument Indonesia (MONAS), Laos- Patuxai Monument, Malaysia- Petronas Twin Tower (KLCC), Myanmar- Shwedagon Pagoda, Philippines- Jose Rizal Monument, Singapore- Merlion, Thailand- Wat Arun Ratchawararam Ratchaworamahawihan, Vietnam- Tran Quoc Pagoda dan ASEAN Secretariat-ASEC Arch/ Monument (symbol of Unity).

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu