KUALA TERENGGANU – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) buat julung kalinya mengadakan Kejohanan Tenpin Boling IPT Pantai Timur anjuran Kelab Boling Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Pusat Sukan dan Rekreasi UMT yang berlangsung di Coral Crown Bowl, Kompleks Paya Bunga, di sini.

Objektif utama penganjuran kejohanan ini adalah bertujuan untuk menggilap bakat dalam kalangan warga IPT untuk menonjolkan aksi masing-masing selain mengeratkan hubungan yang terjalin antara IPT pantai timur.

Pengurus pasukan UMT, Md Tarmizi Ahmad, berkata pihaknya akan memberi persembahan yang menarik pada kejohanan ini.

“InsyaAllah, pasukan saya akan memberi saingan sengit kepada pasukan lawan dengan meletakkan pemain-pemain yang berpengalaman dalam beberapa siri pertandingan acara boling di pelbagai peringkat.

“Selain mewujudkan persaingan sihat, aktiviti ini juga merupakan penyatuan kepada staf IPT khususnya IPT Pantai Timur untuk bersama dalam setiap program seumpama ini.

“Semoga pertandingan seumpama ini dapat menjadi acara kejohanan tahunan bagi melebarkan jaringan persahabatan di kalangan staf di dalam bidang sukan antara IPT di Pantai Timur melibatkan staf dan pelajar di masa hadapan”. katanya.

Kejohanan itu menyaksikan beberapa kategori pertandingan seperti individu wanita, individu lelaki, berpasangan campuran, trio wanita dan trio lelaki berlangsung selama dua hari berakhir 28 Mac 2019.

 

Dikeluarkan oleh :

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu