UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

MAM2018 Rai Warga Media Seluruh Malaysia, Angkat Penulisan Terbaik

MAM2018 Rai Warga Media Seluruh Malaysia, Angkat Penulisan Terbaik

Sunday, 18/03/2018

Share This Article :

Kuala Terengganu – Media memainkan peranan besar dalam meningkatkan publisiti dan reputasi sesebuah institusi dengan memanipulasikan teknologi yang pesat membangun, ujar Prof. Dato’ Dr, Nor Aieni Haji Mokhtar Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bersempena Majlis Apresiasi Media (MAM) 2018 anjuran Pusat Komunikasi Korporat (PKK), UMT.

Ujar beliau lagi, dengan publisiti dan liputan meluas yang telah diberikan oleh pihak media kepada UMT selama ini, UMT kian gah menempa nama dan reputasi sebagai unversiti peneraju dalam bidang sains marin dan sumber akuatik.

MAM2018 merupakan acara tahunan anjuran Pusat Komunikasi Korporat UMT bagi menghargai sokongan para pengamal media seluruh Malaysia dan Anugerah Gerbang Pena merupakan agenda wajib MAM2018 dalam mengangkat penulisan terbaik dan penghargaan terhadap wartawan-wartawan yang terlibat.

Tahun ini, Anugerah Gerbang Pena menyaksikan seramai 20 orang pemenang dinobatkan sebagai pemenang dalam 27 kategori pertandingan, 12 penerima Anugerah Khas Juri pelbagai kategori dan 16 penerima anugerah dalaman untuk warga UMT.

UMT juga pada tahun ini telah mengiktiraf YM Tengku Azam Tengku Mat sebagai Saintis Komuniti (Citizen Scientist) UMT yang pertama atas berdasarkan komitmen, dedikasi, pengalaman, pengetahuan yang tinggi dan kearifan yang dimiliki beliau dalam ilmu penyemaian benih bakau, konsep kepelbagaian biologi selain bertindak sebagai Pengerusi Sahabat Setiu, badan NGO yang aktif dalam usaha-usaha pemuliharaan biodiversiti di Setiu.

Sejajar dengan Revolusi Pendidikan Tinggi 4.0 yang diketengahkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, PKK turut melancarkan aplikasi UMTsohor, satu aplikasi interaktif yang dibangunkan dengan tujuan untuk memudahkan capaian maklumat mengenai UMT dalam bentuk infografik yang boleh dimuat turun di peranti Android menerusi Google Play atau peranti Apple menerusi Apple Store selain perwujudan UMTsohor e-Newsletter dengan kekerapan keluaran setiap bulan.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Pengerusi Unit Komunikasi Korporat (UKOM), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Dato’ Muda Mamat, Presiden Kelab Wartawan Terengganu (KAWAT), En. Wan Abd Rahman Wan Abd Hayat dan Ketua-ketua Biro Media sekitar Terengganu.