UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Lebih 100 kakitangan UMT dirai

Lebih 100 kakitangan UMT dirai

Monday, 19/12/2022

Share This Article :

Sejumlah 133 kakitangan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang terdiri daripada pelbagai peringkat diraikan sempena penganjuran Majlis Penghargaan Setia Bakti dan Pesara UMT 2022.

 

Bertemakan “Setia Berbakti, UMT Teguh Bersama”, majlis itu diadakan sebagai ganjaran khas atas sumbangan khidmat bakti yang telah dicurahkan dalam meletakkan organisasi itu ke tahap terbaik.

 

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar menzahirkan rasa gembira dan teruja apabila berpeluang untuk berjumpa dan meraikan kakitangan yang telah dan bakal bersara.

 

“Terima kasih untuk sumbangan bakti serta kesungguhan yang ditunjukkan selama ini. Saya amat menghargai setiap apa yang dilakukan dan hampir kesemua yang dihargai hari ini merupakan kakitangan cemerlang”.

 

“Saya yakin dan percaya bahawa setiap kakitangan telah melakukan yang terbaik sepanjang berkhidmat di UMT sehingga universiti yang ‘muda’ ini berjaya berada di tahap terbaik”. Katanya ketika berucap dalam majlis penghargaan itu.

 

Katanya, empat kategori Hadiah Setia bakti yang disediakan UMT bagi penganjuran majlis tahun 2022.

 

“Terdapat empat kategori iaitu Kategori Gangsa (perkhidmatan 10 tahun), Kategori Perak (perkhidmatan 20 tahun), Kategori Emas (Perkhidmatan 30 tahun) dan Kategori Platinum (perkhidmatan 40 tahun) di UMT.

 

Tambahnya, anugerah itu bagi menghargai kesetiaan pegawai dan sebagai inisiatif untuk menggalakkan pegawai untuk terus setia berkhidmat di UMT dengan penuh iltizam.

 

Dalam pada itu, Prof. Mazlan turut menekankan aspek keserakanan dalam melaksanakan tugas.

 

“Saya senantiasa berdoa kepada Allah s.w.t agar warga UMT cemerlang diberi kekuatan untuk terus bersatu hati dan bekerja sebagai sebuah kumpulan yang kuat dalam mengharungi apa jua cabaran yang mendatang, malah mampu mendepani sebarang halangan bagi melonjakkan kecemerlangan UMT.

 

“Teruskan kesetiaan dan memberikan perkhidmatan yang terbaik demi kelangsungan perkhidmatan yang berkesan agar UMT terus relevan pada masa hadapan.

 

Sementara itu, UMT yang pada permulaan penubuhannya hanya sebagai pusat perikanan telah melalui beberapa siri peningkatan kualiti dan tadbir urus berpandukan perancangan yang teliti dan strategik menjadikan gedung ilmu yang masyhur di pantai timur itu sering dijadikan pusat rujukan terutamanya berkaitan isu kelautan dan alam sekitar.

 

Antara pencapaian dan pengiktirafan yang telah diberikan kepada UMT iaitu penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, MyMoheS, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan SETARA.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu