UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

HICoE AKUATROP, UMT TERAJUI PENYELIDIKAN AKUAKULTUR MENYUMBANG KEPADA AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

HICoE AKUATROP, UMT TERAJUI PENYELIDIKAN AKUAKULTUR MENYUMBANG KEPADA AGENDA KETERJAMINAN MAKANAN NEGARA

Wednesday, 01/08/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi (HICoE) iaitu Institut Akuakultur Tropika dan Perikanan (AKUATROP) proaktif dalam menjalankan kajian dan penyelidikan berkaitan ilmu kelautan dan sumber akuatik serta keperluan makanan masa hadapan (Future Food) demi menyahut seruan kerajaan dalam keperluan Jaminan Makanan (Food Security) bagi sektor Perikanan dan Akuakultur Negara.

AKUATROP telah diberikan penarafan HICoE oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Disember 2020 bagi memacu kecemerlangan penyelidikan IPT di dalam bidang penyelidikan nic makanan masa hadapan (Future food): Kelestarian Akuakultur Shellfish. KPT telah meluluskan dana sebanyak RM6.75 juta kepada HICoE AKUATROP untuk tujuan ini.

Penyelidikan Akuakultur

HICoE AKUATROP memfokuskan kepada empat program penyelidikan utama iaitu Kelestarian Sumber, Teknologi Pembiakbakaan, Kesihatan dan Jaminan Kualiti Makanan serta Teknologi Hijau yang mampu menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara.

Kelestarian sumber akuatik merupakan kunci utama dalam memastikan sumber bekalan semulajadi dikekalkan agar sumber induk spesis bernilai komersil dapat dikekalkan untuk penghasilan benih yang berkualiti.

Profesor Dato` Dr. Mazlan bin Abd Ghaffar  Naib Canselor UMT berkata, di bawah program penyelidikan Kelestarian Sumber, program pelepasan semula benih ketam bakau dan 2 juta udang galah telah berjaya dilepaskan di sungai utama di Terengganu bertujuan meningkatkan sumber populasi semulajadi udang galah dikawasan tersebut.

“Maklumbalas positif dari pihak komuniti nelayan di kawasan tersebut menyatakan hasil tangkapan udang telah meningkat setelah setahun program pelepasan dijalankan. Kajian yang dijalankan HICoE AKUATROP menunjukkan bahawa kadar pelepasan semula benih udang galah sebanyak 200,000 ekor.

“Malah pelepasan semula benih ketam bakau dan udang galah ke dalam sungai akan memberi pulangan ekonomi sebanyak RM450,000.00 kepada nelayan-nelayan sungai yang terlibat. Secara khususnya, hasil tangkapan udang galah nelayan meningkat dari purata 4kg (bernilai RM160.00) kepada purata 9kg (bernilai RM360.00).”

Selain itu, penghasilan 300,000 benih anak ketam di Hatcheri AKUATROP juga telah berjaya dilepaskan di kawasan hutan bakau di Sungai Pulai, Johor dan Tanah Bencah Setiu, Terengganu.

Di bawah program penyelidikan Teknologi Pembiakbakaan, kajian di HICoE AKUATROP memberikan tumpuan kepada spesis krustasia yang bebas dan tahan terhadap penyakit serta mempunyai potensi besar dalam akuakultur dari segi teknologi pengurusan penternakan, permintaan pasaran yang tinggi, nilai pasaran yang tinggi dan yang paling penting mampu meningkatkan sosioekonomi petani serta masyarakat pesisir.

Dengan benih yang berkualiti, ianya dapat membantu meningkatkan hasil pengeluaran sekali gus akan mengurangkan kos pengeluaran.

Penubuhan Broodstock Multiplication Centre (BMC)

Menurut Mazlan lagi, HICoE AKUATROP telah memulakan inisiatif penubuhan Broodstock Multiplication Centre (BMC) yang selari dengan misi keterjaminan makanan negara. Dengan adanya benih yang berkualiti, ianya akan meningkatkan hasil pengeluaran dan sekali gus akan mengurangkan kos pengeluaran.

“Kepentingan membangunkan induk yang bebas dan mempunyai ketahanan tinggi kepada penyakit perlu menjadi agenda utama khusus bagi kelestarian industri penternakan akuakultur di Malaysia.”

Tambahnya HICoE AKUATROP menggalas tugas membantu membangunkan induk spesis akuakultur baka tempatan berkualiti tinggi dengan penghasilan baka hibrid baharu, untuk bekalan kepada industri makanan laut di Malaysia khasnya dan serantau amnya. Usaha ini secara tidak langsung dapat merangsang dan meningkatkan ekonomi masyarakat pesisir pantai dan pemain industri.

Program Penyelidikan Teknologi Hijau

Projek di bawah program Penyelidikan Teknologi Hijau sedang dijalankan, iaitu penyelidikan Black Soldier Fly (BSF). Hasil penyelidikan HICoE AKUATROP bersama rakan industri telah berjaya menghasilkan makanan khusus untuk ternakan akuatik iaitu ikan dan udang. Sistem penghasilan sumber bahan mentah dari BSF akan dikeluarkan seterusnya dipasarkan kepada sektor pembuatan makanan ternakan.

Kapasiti penghasilan 1 tan sehari sisa buangan organik ini akan dapat diproses untuk menghasilkan purata 200kg sehari bahan mentah dari larvae BSF yang diternak. BSF adalah sejenis serangga yang taburan populasinya boleh ditemui hampir di seluruh dunia mengikut sepsis yang tersendiri.  Larva serangga ini mempunyai kandungan protein, kitin dan lipid yang tinggi serta berkualiti untuk keperluan seharian.

Penggunaan larva BSF adalah sebagai kaedah alternatif dalam mengurangkan kebergantungan sumber protein berasaskan makanan ikan (Fish Meal) yang digunakan pada masa kini memandangkan kos bahan mentah dari sumber sedia ada ini semakin mahal dan tidak lestari.

Haiwan yang diberi makanan rumusan BSF terbukti secara saintifik dapat mempercepatkan tempoh tumbesaran dan meningkatkan daya tahan ternakan. Sumber alternatif ini mampu memenuhi permintaan pasaran yang luas sekaligus menyahut seruan kerajaan yang menekankan kepada aspek jaminan makanan (Food Security) dan makanan masa hadapan (Future Food).

Mengurangkan Kebergantungan Bahan Makanan Import

Dasar Agromakanan Negara (NAP) dan Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Negara (DSMN), kerajaan berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada makanan import serta meningkatkan keselamatan makanan dan rantaian bekalan negara.

Dengan inisiatif penggunaan sumber bahan mentah alternatif dari sumber protein BSF ini secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan Negara mengimport bahan mentah dari luar. Ianya juga dapat meningkatkan kebolehcapaian keperluan sumber protein yang tinggi untuk haiwan ternakan akuatik seterusnya dapat membantu golongan penternak dari kalangan B40.

Di bawah program Kesihatan dan Jaminan Kualiti Makanan, HICoE AKUATROP menumpukan kepada penyelidikan penggunaan sisa buangan akuakultur untuk tujuan penghasilan bahan yang dapat meningkatkan jangka hayat produk makanan laut sebelum dipasarkan. Ini sekaligus mengurangkan kerugian para pengusaha industri pemprosesan makanan laut dengan memastikan kualiti produk sentiasa terjamin segar dan selamat dimakan.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu