UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT perluas kempen pemuliharaan marin

UMT perluas kempen pemuliharaan marin

Sunday, 09/07/2023

Share This Article :

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan karnival sehari dalam usaha menyebarkan kempen pemuliharaan lautan.

Penganjuran itu sebagai tanda sokongan institusi yang sering menjadi jolokan sebagai ‘universiti marin’ itu terhadap sambutan Hari Lautan Sedunia (World Oceans Day) yang telah diiktiraf oleh United Nation (UNESCO) yang disambut secara global pada 8 Jun setiap tahun.

Bagi mempromosikan usaha pemuliharaan sumber laut, UMT telah melengkapkan takwim tahunan yang sarat dengan aktiviti kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan lautan bersesuaian dengan masyarakat di segenap lapisan. 

Pengarah Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Fadzil Mohd Akhir berkata program sambutan karnival itu telah dipertanggungjawabkan kepada pihaknya untuk menyusun strategi serta merangka pelaksanaan aktiviti yang menjurus kepada kempen pemuliharaan laut.

“Setelah beberapa siri penganjuran kempen seperti ini lebih sepuluh tahun lalu, kita dapati masyarakat mulai sedar akan kepentingan penjagaan alam sekitar.

“Namun usaha ini perlu diteruskan agar ia sentiasa berada dalam jiwa masyarakat. Usaha ini kita mulakan dan perkenalkan kepada kanak-kanak peringkat sekolah rendah dan tadika agar generasi yang dibentuk ini menjadi ejen penyebaran maklumat berkaitan pemuliharaan lautan kelak.

Penganjuran karnival kali ini dengan mengangkat tema ‘Planet Lautan : Masa Untuk Berubah’ seiring dengan perubahan iklim yang signifikan berlaku di lautan mahupun daratan sejak akhir-akhir ini.

“Kita berharap agar lebih ramai agensi dan NGO turut bekerjasama dengan UMT dalam merancakkan dan mempromosikan aktiviti kesedaran mengenai kepentingan lautan di peringkat nasional mahupun global. 

Katanya, pelbagai aktiviti disusun khas buat komuniti sekitar Kuala Nerus untuk turut serta bersama-sama menjayakan kempen ini.

“Selain membersihkan pantai, kita juga anjurkan aktiviti lain seperti Pameran bersama komuniti, Pertandingan Membina Istana Pasir, Kejohanan Beach Volleyball, Pertandingan mewarna kanak-kanak, Indoor Rowing, Pertandingan Membina Model Kapal Menggunakan Bahan Kitar Semula, Pertandingan Mewarna Kanak-kanak bertemakan Lautan, WOW ship dan lain-lain”.

Sementara itu, Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd. Ghaffar menyeru agar semua pihak untuk bersama-sama UMT dalam usaha pemuliharaan alam.

“Sebagai sebuah universiti yang memfokuskan ilmu kelautan dan sumber akuatik, adalah menjadi tanggungjawab UMT dalam mendidik dan menyedarkan  masyarakat berkaitan pemuliharaan ekosistem alam.

“Melalui program seperti ini ia memberi peluang kepada masyarakat untuk terlibat secara langsung bersama-sama UMT dalam usaha memulihara alam sekitar dan menyemai semangat untuk melindungi biodiversiti marin demi kehidupan yang lebih baik”. Katanya.

 

Dikeluarkan oleh:

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu