UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT teruskan tradisi SRD2022, hasil graduan holistik

UMT teruskan tradisi SRD2022, hasil graduan holistik

Monday, 27/06/2022

Share This Article :

Kuala Nerus, 27 Jun 2022 – Bagi memastikan gedung ilmu yang masyhur di pantai timur itu terus bersaing dan kekal relevan sebagai universiti pilihan pelajar, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengambil pelbagai pendekatan holistik dengan meneruskan tradisi penganjuran “Student Research Day” (SRD) demi memastikan graduan UMT mempunyai keupayaan menjalankan penyelidikan secara kendiri, berdaya saing dan mempunyai pemikiran kritis terutamanya ketika melangkah ke alam industri.

SRD 2022 merupakan penganjuran kali ke-5 setelah penganjuran pertamanya diadakan pada 2018. Bertemakan “Living into the Endemic Era of COVID-19”, ia bertindak sebagai platform bagi mengumpulkan setiap hasil kajian penyelidikan dan inovasi yang dijalankan oleh pelajar untuk dipamerkan sebelum penilaian dibuat oleh kumpulan juri yang berkepakaran yang terdiri daripada kalangan ahli akademik dan juga wakil industri.

Menariknya, poster yang dibentangkan sempena SRD2022 telah melalui proses saringan dan penilaian awal di fakulti masing-masing sebelum terpilih menyertai program ini. Ia bertujuan bagi memastikan projek yang layak ke peringkat akhir SRD2022 adalah projek yang berkualiti dan berimpak tinggi.

Tahun ini merupakan tahun kelima SRD diadakan dan telah dianjurkan oleh Fakulti Perikanan dan Sains Makanan (FPSM) selaku tuan rumah dengan bertemakan “Living into the Endemic Era of COVID-19”. Apa yang menariknya, setelah dua tahun SRD diadakan di atas talian, tahun ini menjadi lebih meriah dengan keterujaan semua pihak apabila majlis dapat diadakan secara bersemuka. Diadakan di UMT Convention Centre (UMTCC) yang berwajah baru, majlis yang diadakan selama sehari melibatkan penyertaan dari 23 program pengajian. Pelajar terbaik bagi setiap program dikehendaki membentangkan poster penyelidikan di hadapan 12 orang panel juri jemputan dari industri dan juga IPTA luar. 

Lebih bermakna apabila sejumlah 1,303 abstrak telah berjaya dihasilkan oleh para pelajar dari pelbagai latar belakang projek dan dikompilasikan dalam buku abstrak SRD2022.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abdul Ghaffar berkata penganjuran program berbentuk galakan penghasilan produk dan idea seperti itu amat penting untuk penghasilan graduan yang berkualiti.

“Tujuan utama SRD tidak hanya tertumpu kepada pelajar, tetapi pada pensyarah selaku ahli akademik. Ia merupakan cabaran kepada penyelia kerana selama ini penyeliaan pelajar sarjana muda terhenti sekadar di peringkat sarjana muda sahaja. Dengan adanya platform seperti SRD, ia menjadi pencetus dan pemangkin kepada penyelidikan yang boleh membawa penyelesaian kepada pemasalahan industri dan juga masyarakat umumnya. Selain itu, penerbitan yang berimpak tinggi juga dituntut demi memastikan penerokaan ini kritis di peringkat yang lebih tinggi bagi menghasilkan graduan yang holistik memenuhi keperluan industri.

“Penglibatan dan kehadiran penilai industri di majlis ini sedikit sebanyak dapat membuka peluang pekerjaan kepada bakal graduan UMT dan ini adalah salah satu strategi kami untuk memastikan pelajar UMT mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian”. Katanya ketika berucap dalam majlis penyampaian hadiah SRD2022.

Majlis itu menyaksikan Mohd Raziq Mohd Nizam, pelajar program Sarjana Muda Teknologi (Alam Sekitar) dengan kepujian telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan bagi kategori Projek Ilmiah Tahun Akhir 1 (PITA 1). Manakala juara keseluruhan bagi kategori Projek Ilmiah Tahun Akhir 2 (PITA 2) disandang oleh saudari Siti Nur Hanani Zainuddin, pelajar program Sarjana Muda Sains (Geosains Marin). Pemenang utama masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM600, RM400 dan RM250 beserta sijil dan trofi iringan mengikut kategori masing-masing.

 

Disediakan oleh:

Sekretariat SRD 2022

Fakulti Perikanan dan Sains Makanan

Universiti Malaysia Terengganu

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu