Kuala Nerus, 4 April – Seramai 43 orang pelajar Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (BIO-D TROPIKA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mengadakan Ekspedisi Saintifik Pulau Bidong 2019 bertempat di Stesen Penyelidikan Alami Pulau Bidong yang bermula 1 April hingga 3 April 2019 baru-baru ini.

 

Menurut Penolong Pegawai Tadbir Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari (BIO-D TROPIKA) En. Sahrim bin Ngah, objektif utama ekspedisi ini adalah bertujuan menjalankan penyelidikan saintifik di Pulau Bidong dengan meneroka kawasan puncak bukit dan kawasan-kawasan yang jarang dimasuki penyelidik sebelum ini.

 

“Di samping itu, program ini juga bertujuan melatih penyelidik muda dan penyelidik komuniti serta menghasilkan penerbitan buku dan jurnal terindeks”.

 

“Cadangan program ekspedisi saintifik Pulau Bidong ini merupakan rentetan daripada program-program ekspedisi sebelum ini yang dijalankan di BIO-D TROPIKA iaitu ekspedisi saintifik Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Tasik Kenyir”. Tambahnya.

 

Mengulas lanjut, Sahrim berkata ekspedisi ini dijalankan untuk mendapatkan data atau maklumat biodiversiti dan sejarah pelarian Vietnam di Pulau Bidong. Selain itu, ekspedisi ini dijalankan bagi tujuan penerbitan memandangkan Pulau Bidong juga merupakan salah satu Pusat Penyelidikan Alami di bawah penyelidikan BIO-D TROPIKA.

 

Tambahnya lagi, ianya juga untuk memudahkan proses mengumpul data bagi penerbitan buku Pulau Bidong untuk melengkapkan koleksi penerbitan pulau di kawasan negeri Terengganu. Program ini juga untuk melatih penyelidik muda dalam bidang tujahan keilmuan sains dan sains sosial.

 

Antara impak bagi ekspedisi ini ialah bagi menjana bakat penyelidik baru dalam menjalankan penyelidikan dan penerbitan serta mengumpul, mengemaskini dan menerbitkan dapatan daripada ekspedisi di Pulau Bidong.

 

Ekspedisi ini turut disertai oleh Penyelidik Komuniti (community scientist) untuk sama-sama menjana bakat dalam aktiviti penyelidikan.

 

 

 

 

 

 

Disediakan oleh:

Noor Lida bt Che Lah

UMT

 

 

 

Dikeluarkan oleh:

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

09-6684418/4261