Universiti Malaysia Terengganu (UMT) merupakan sebuah universiti ‘junior’ di Malaysia yang sedang pesat membangun dengan merintis pelbagai inisiatif seperti menyertai penarafan Universiti Indonesia GreenMetric World University Ranking (UIGM) bagi menempa nama sebaris dengan universiti senior tempatan yang lain.

 

Terkini, UMT telah melonjak kepada tangga 370 daripada 719 institusi yang menghantar penyertaan.

 

Terdahulu, penyertaan buat kali pertama pada tahun 2017, UMT telah mencapai rekod tersendiri apabila muncul tempat ke-431 daripada 619 institusi pengajian tinggi yang terlibat.

 

Peningkatan sebanyak 61 kenaikan ini membuktikan bahawa UMT mampu lakukan penambahbaikan positif dengan mengambilkira pelbagai aspek penilaian.

 

Merujuk ucapan Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar dalam pelan kampus lestari, UMT sering menerapkan konsep kelestarian dalam pelbagai aspek bagi menyokong pembangunan Negara.

 

“Penerapan rancangan pembangunan kampus lestari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mempunyai asas yang kukuh. Selain itu, konsep kelestarian ini juga amat konsisten dengan kenyataan misi UMT iaitu Menjana Ilmu untuk Kesejahteraan Masyarakat dan Kelestarian Alam dan slogannya iaitu Terokaan Seluas Lautan, Demi Kelestarian Sejagat.

 

“Pembangunan kampus lestari di UMT bukan sahaja memberi manfaat kepada seluruh warga UMT, tetapi juga akan menjadi contoh dan menimbulkan kesedaran komuniti sekitar tentang kepentingan persekitaran yang lestari untuk kesejahteraan sejagat”.

 

UI GreenMetric menetapkan beberapa erlemen sebagai indikator iaitu Penetapan dan Infrastruktur (SI pada 15%), Tenaga dan Perubahan Iklim (EC pada 21%), Sisa (WS pada 18%), Air (WR pada 10%), Pengangkutan (TR pada 18%), dan Pendidikan (ED pada 18%).

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu