UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT rai 319 warga kerja cemerlang sempena penganjuran MAT2023

UMT rai 319 warga kerja cemerlang sempena penganjuran MAT2023

Wednesday, 30/08/2023

Share This Article :

Majlis Anugerah Tahunan (MAT) merupakan satu acara penting dalam kalendar Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Acara yang disambut setiap tahun itu merupakan pentas gemilang khas menghargai sumbangan berharga individu dalam menyokong misi pendidikan, pembangunan, pengurusan dan penyelidikan.

Selain itu, majlis itu juga berperanan untuk mewujudkan budaya kerja cemerlang yang memberi tumpuan kepada kualiti, inovasi, dan kerjasama dalam kalangan warganya.

Sejumlah 319 warga kerja UMT yang terdiri daripada pelbagai peringkat diraikan sempena penganjuran MAT2023. Bertemakan “Memahat Tradisi Kecemerlangan, Menjunjung Kegemilangan”, majlis itu diadakan sebagai ganjaran khas atas sumbangan khidmat bakti yang telah dicurahkan dalam meletakkan organisasi itu ke tahap terbaik.

Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar menzahirkan rasa keterujaan serta menganggap majlis itu merupakan manifestasi dan komitmen pihak pengurusan untuk menghargai sumbangan dan kecemerlangan para kakitangan dan pesara.

“Apa yang kita harapkan dengan Anugerah yang diterima pada majlis ini menyuntik semangat motivasi dan komitmen di kalangan warga kerja dan merasakan dihargai dan disedari kepentingan peranan mereka dalam mencapai matlamat universiti.

“Pengiktirafan seperti ini merangsang usaha tambahan dari pekerja untuk lebih cemerlang. Ini mendorong mereka untuk memberi yang terbaik, yang akhirnya meningkatkan produktiviti dan pencapaian prestasi organisasi.

Katanya, UMT menekankan aspek kualiti hasil kerja dalam segenap bidang tugas yang dilaksanakan warganya.

“Pekerja cemerlang berperanan sebagai contoh teladan. Pengiktirafan mereka membantu memperkukuhkan imej universiti sebagai institusi yang memberi tumpuan kepada prestasi cemerlang.

“Budaya kerja cemerlang mementingkan kualiti dalam segala aspek kerja. Ini membantu universiti untuk memberikan pendidikan dan penyelidikan yang terbaik kepada pelajar dan masyarakat”.

Penganjuran majlis penuh gilang-gemilang itu meraikan penerima daripada pelbagai kategori anugerah seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang (AKPC), Anugerah Julangan Bakat (AJB), Anugerah Khas Naib Canselor (AKNC), Hadiah Setia Bakti (HSB) dan turut meraikan 19 orang pegawai dari pelbagai Skim Perkhidmatan yang bersara pada tahun 2023.

Dalam majlis itu, UMT turut melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Bakat (PSPB) UMT 2023-2027 bagi memperkasakan usaha mewujudkan budaya kerja cemerlang.

Ujar Dr. Mazlan, pemerkasaan bakat dalam kalangan staf perlu dikembangkan dan diurus secara sistematik.

“Bakat atau sumber daya insan merupakan nadi utama bagi sesebuah organisasi. Mereka perlu dibangun dan diurus secara strategik dan sistematik bagi memastikan perancangan UMT dapat  dilaksanakan.

Menurutnya, Pelan Strategik Pembangunan Bakat (PSPB) UMT 2023-2027 digubal dengan mengambilkira empat aspek utama dikenali dengan Model 4Q iaitu pembangunan kualiti fizikal dan intektual, penyuburan kualiti spritual, pemupukan kualiti nilai dan pembinaan kualiti kepimpinan. 

“Pelan ini menggariskan 7 Teras yang akan dilaksanakan dari semasa ke semasa selari dengan perkembangan global dalam pengurusan sumber manusia agar warga UMT akan terus kekal berdaya tahan berhadapan cabaran semasa pembangunan bakat pengajian tinggi negara”. Katanya.

MAT2023 bukan sahaja mengiktiraf individu cemerlang, tetapi juga membantu membina budaya kerja cemerlang yang memberi tumpuan kepada kualiti, inovasi, dan kerjasama. Kebebasan untuk berkongsi idea, motivasi untuk mencapai matlamat organisasi, dan komitmen kepada kualiti adalah elemen utama dalam mencipta persekitaran universiti yang cemerlang.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu