UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT dan PTPTN meterai perjanjian, fokus kebajikan kewangan pelajar

UMT dan PTPTN meterai perjanjian, fokus kebajikan kewangan pelajar

Thursday, 10/08/2023

Share This Article :

Kuala Nerus – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memeterai perjanjian persefahaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dalam usaha meningkatkan kecekapan dan mutu perkhidmatan khususnya berkaitan kebajikan pelajar.

Majlis itu menyaksikan Naib Canselor UMT, Profesor Dato` Dr. Mazlan Abd Ghaffar dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid menurunkan tandatangan pada dokumen perjanjian bagi mewakili agensi masing-masing.

Prof. Mazlan dalam ucapannya berkata, UMT bersetuju untuk bekerjasama dalam membuat penyelidikan dan membangunkan beberapa idea baharu bagi meningkatkan kefahaman pelajar dan staf terhadap kepentingan perkhidmatan yang ditawarkan agensi pembiayaan pendidikan negara itu demi kelangsungan masyarakat dalam mencatur masa depan yang lebih baik.

“MoU yang dimeterai hari ini antara lain bertujuan untuk membudayakan penabungan simpanan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dalam kalangan warga UMT, memberi kesedaran pelajar terhadap bayaran balik pinjaman dan memperkasakan pembangunan penyelidikan serta pendidikan tinggi untuk melahirkan graduan yang berkualiti sebagai generasi pelapis dan pemimpin negara.

“UMT sentiasa bersedia dalam memberi sokongan dan kerjasama dengan menyediakan insfrastruktur dan tenaga kerja  bagi mengembangkan usaha tersebut”.

Katanya, perjanjian itu juga melibatkan program bersifat tanggungjawab sosial korporat anjuran bersama antara kedua-dua agensi tersebut yang akan memberi manfaat kepada graduan universiti serta untuk kesejahteraan masyarakat.

Majlis itu turut meraikan dua pelajar iaitu Nur Hafizah Bahru Anuar (Sarjana Muda Perakaunan) dan Raja Halimatun Fikriyah Raja Khairuddin (Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim) bagi mewakili kategori asnaf yang terpilih untuk menerima tablet sumbangan daripada PTPTN dalam meringankan beban golongan memerlukan.

Tambah Dr. Mazlan, kerjasama itu menyokong inisiatif UMT sebagai universiti yang memperkasakan bidang akademik dan penyelidikan, di samping mengambil pelbagai peluang untuk melengkapkan kecemerlangan akademik.

UMT yang ditubuhkan sebagai Pusat Perikanan pada 1979 telah melalui pelbagai peringkat evolusi berjaya menempa nama di pelbagai peringkat menerusi pencapaian akademik, penyelidikan dan inovasi serta pembangunan mahasiswa.

Antara pencapaian dan pengiktirafan yang telah diperolehi UMT iaitu penarafan oleh Times Higher Education (World University Rankings), Times Higher Education (Impact Rankings), Times Higher Education (World University Rankings by Subject), QS World University Rankings, QS University Rankings (Asia), UI GreenMetric, MyMoheS, Malaysia Research Assessment (MyRA) dan SETARA.

 

Dikeluarkan oleh :

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu