UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Tasik kenyir : Kecantikan Flora, fauna dan biodiversiti yang masih tersimpan

Tasik kenyir : Kecantikan Flora, fauna dan biodiversiti yang masih tersimpan

Wednesday, 31/1/2024

Share This Article :

Keindahahan flora dan fauna serta kekayaan biodiversiti yang dimiliki Tasik Kenyir tidak dapat disangkal lagi. Kicauan beburung di hening pagi begitu mengujakan dan ia seakan menggamit memori zaman silam sebelum internet diperkenalkan secara meluas. Kejernihan air yang menghijau begitu memukau dan menyejukkan mata siapa sahaja yang memandang.

 

Memiliki 340 pulau sememangnya menyerlahkan lagi gelaran yang menjadi bualan ramai bahawa tasik buatan manusia itu merupakan tasik terbesar di asia tenggara. Dengan berkeluasan 260 kilometer persegi, ia cukup bagi menampung air tawar bagi kegunaan janakuasa tenaga hidro elektrik  yang dibina pada sekitar 1980an. Bagi tujuan tersebut, kira-kira sembilan buah kampung telah ‘dikorbankan’ yang mana dahulunya dihuni oleh penduduk iaitu Kampung Melur, Kelitok, Berching, Petang, Mentong, Melaka, Kuala Terenggan, Kerbak dan Belimbing.

 

Kini Tasik kenyir telah menjadi salah sebuah destinasi yang wajib dikunjungi oleh pelancong. Impak penubuhan empangan Jenagor telah membawa limpahan rezeki kepada penduduk sekitar Hulu Terengganu itu.  Keunikan yang sering menjadi tumpuan pengunjung seperti Taman Herba, air terjun, taman rama-rama, taman orkid, gua bewah, santuari kelah dan pelbagai lagi. Ternyata penawaran perkhidmatan rumah bot yang menjadi trend percutian berkumpulan merancakkan lagi kegiatan ekonomi setempat selain menawarkan pakej istimewa buat kaki pancing.

 

Lebih menarik apabila terdapat komuniti orang asli Semaq Beri turut menjadikan sebahagian kawasan Taman Negeri Kenyir sebagai tempat untuk membina kehidupan. Kekayaan hasil hutan di kawasan tersebut memberi nilai ekonomi kepada kira-kira 500 komuniti orang asli yang menjualnya kepada pihak lain.

 

Menurut Timbalan Pengarah Institut Biodiversiti Tropika dan Pembangunan Lestari, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Profesor Dr. Khatijah Omar, komuniti orang asli itu perlu dibantu dalam usaha meningkatkan kualiti hidup serta keseimbangan sosio ekonomi.

 

“Suku kaum orang asli di tasik kenyir adalah saling berkait dengan suku yang lain melalui jalur Tasik Kenyir ke Kuala Tahan.

 

“UMT telah lakukan projek rintis kepada komuniti orang asli semaq beri dengan menganjurkan program galakan pertanian, penghasilan barangan kraftangan dan sebagainya bagi tujuan memperkasakan ekonomi komuniti orang asli.

 

Dari aspek pendidikan, Prof. Khatijah berkata pihaknya telah memperkenalkan sekolah khas yang dinamakan sebagai ‘jungle school’.

“Kita melihat bahawa orang asli merupakan golongan yang tercicir dalam mendapatkan pendidikan dan usaha kita mewujudkan Sekolah rimba atau ‘Jungle School’ selari dengan tuntutan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 4 (Menjamin pendidikan menyeluruh dan sama rata serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat kepada masyarakat).

 

Menurutnya, masih terdapat kanak-kanak orang asli yang belum menguasai kemahiran membaca, manulis dan mengira.

 

“Slot pembelajaran yang telah dirangka dan dilaksanakan sebanyak 20 slot diisi dengan kandungan pembelajaran santai dalam usaha menarik minat anak-anak Orang Asli untuk belajar. Antara pengisian slot pembelajaran berkenaan adalah Hutan Ini Milik Kita, Pasar Borong, Sing Along, Jom Masuk Hutan, Treasure Hunt & Show and Tell”. Katanya.

 

Mengulas lanjut, katanya UMT telah memainkan peranan dan tanggungjawab terbaik dalam membantu komuniti Orang Asli mengubah kehidupan ke arah lebih baik.

 

 

Disediakan oleh :

 

Amirul Salam bin Hasan

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pejabat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu