KUALA NERUS – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah (PSNZ) dan Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) buat julung kalinya melancarkan program Read@Uni UMT 2019 dan program Bedah Buku ORANG TERENGGANU : Asal Usul, Arus Hidup dan Arah Tuju.



Read@UNI dengan slogan “With Knowledge We Lead” merupakan salah satu fokus Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memperkasakan aktiviti membaca di kalangan masyarakat dan program tersebut sejajar dengan hasrat mencapai #DekadMembacaMalaysia.

Agenda ini juga adalah bagi menyokong hala tuju negara dalam mencapai “Menuju Negara Membaca 2030”. Sehubungan dengan itu, kempen membaca diberikan nafas baharu dengan tema Read@Uni. Pelbagai program telah diatur oleh UMT bagi mencapai hala tuju yang telah ditetapkan.

Menurut Profesor Dato` Dr. Nor Aieni Haji Mokhtar,​ Naib Canselor UMT, majlis perasmian yang diadakan pada hari ini adalah bagi menunjukkan komitmen pihak pengurusan UMT dan warga UMT dalam menyahut saranan yang telah ditetapkan disamping memperkenalkan kepada warga UMT pelbagai aktiviti yang bakal dilaksanakan untuk menjayakan Read@UNI, UMT.

“Antara program yang akan dilaksanakan oleh UMT bermula 2018-2020 adalah memberi penekanan kepada pelaksanaan aktiviti kempen budaya membaca dalam UMT dengan berpandukan Rangka Pelan Strategi Penggiatan Budaya Membaca UMT (2018-2020)”.

”Disamping menggalakkan pengembangan dan akses terhadap maklumat, bahan bacaan yang boleh digunakan warga UMT melalui info dan infra yang akan ditambahbaik di Pusat Pengajian dan jabatan masing-masing serta mengwujudkan Ikon Membaca dikalangan warga UMT bagi menjadi pencetus kepada warga yang lain dalam menyuburkan minat membaca”. Tambahnya.


Aktiviti tersebut melibatkan komitmen yang berterusan semua pihak di UMT dan akan diselia oleh Jawatankuasa yang telah diwujudkan bagi memastikan agenda #MalaysiaMembaca dan #Read@UNI, dapat dicapai dengan jayanya.



Bertepatan dengan hasrat tersebut, program Bedah Buku ‘Asal-Usul Orang Terengganu’ turut dilaksanakan pada hari ini merupakan antara pengisian program Read@UNI di UMT bagi menyahut aspirasi kementerian dan akan disusuli dengan program-program lain berteraskan agenda Read@UNI yang akan diadakan secara berterusan.


Bagi menjayakan program Bedah Buku ‘Asal-Usul Orang Terengganu’, UMT turut mengundang penyunting buku tersebut Prof. Dato’ Muhammad Abu Bakar serta Datuk Mohd Nasir Hj Hamzah, Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf selaku moderator untuk sama-sama mengupas dengan lebih terperinci mengenai perihal sejarah perkembangan masyarakat orang Terengganu yang telah menjadi peneraju industri perkapalan perahu dan kapal-kapal Melayu serta industri tenunan kain songket di rantau alam Melayu sejak zaman berzaman.

Program yang diadakan di Auditorium PSNZ, UMT ini turut dihadiri wakil-wakil Agensi Kerajaan Negeri, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGOs), Pegawai-pegawai Utama dan Pegawai-pegawai Kanan serta warga UMT.


Disediakan oleh:


Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu