UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

UMT TERIMA DANA LEBIH RM1 JUTA, KAJI BAHAN ANTI-LEKATAN PADA SALURAN PAIP MINYAK DI PELANTAR

UMT TERIMA DANA LEBIH RM1 JUTA, KAJI BAHAN ANTI-LEKATAN PADA SALURAN PAIP MINYAK DI PELANTAR

Tuesday, 19/11/2019

Share This Article :

Petroleum sering menjadi tajuk perbualan dalam masyarakat Malaysia terutamanya apabila berlaku peningkatan harga bahan bakar itu.

 

Produk tersebut yang juga dikenali dengan nama “emas hitam” kerana nilai yang begitu tinggi dan memberi sumbangan besar terhadap kestabilan ekonomi negara.

 

Masyarakat sering menganggap bidang minyak dan gas sebagai peluang untuk “membuat” duit kerana dimomokkan dengan gaji yang berkali ganda berbanding sektor lain.

 

Tetapi tahukah anda bagaimana produk utama negara itu dihasilkan? Ia melibatkan perbelanjaan yang terlalu besar dengan perancangan yang begitu rapi serta penyelenggaraan yang berpanjangan.

 

Kini pelantar minyak telah menghadapi masalah lekatan (fouler) pada bahagian struktur dan paip terutamanya bahagian yang berada di dalam air.

 

Pelekatan dari laut dikenali sebagai bio-lekatan (bio-fouler) iaitu pelekatan dari sumber marin dan ini menyebabkan penghasilan minyak berkurangan disebabkan pengambilan ruang oleh bio-lekatan di dalam saluran paip. Bio-lekatan menyebabkan diameter saluran paip menjadi semakin kecil dan akhirnya mengakibatkan tekanan (fluid flow) semakin tinggi yang mengganggu perjalanan sistem.

 

Hal ini menuntut syarikat cari gali minyak melaburkan belanja yang sangat besar bagi proses penyelenggaraan untuk menggantikan paip-paip yang telah rosak disebabkan bio-lekatan.

 

Menurut ketua penyelidik anti-lekatan, Prof. Madya Dr. Noraznawati Ismail yang juga pensyarah kanan di Institut Bioteknologi Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), bio-lekatan terbentuk bermula dari kehadiran bakteria (lapisan pertama), kemudian diikuti oleh lapisan kedua iaitu himpunan mikro-organisma Protista dan makro-organisma seperti kerang-kerangan, teritip, kupang dan sebagainya. Semua hidupan mikro dan makro-organisma bersimbiosis untuk terus hidup di dalam keadaan sekitaran ekstrem.

Permasalahan bio-lekatan yang meruncing di saluran paip di pelantar minyak menyebabkan pihak Petronas berminat untuk mengadakan kerjasama dengan kumpulan penyelidik UMT.

 

“Alhamdulillah, kedua-dua pihak UMT dan Petronas bersetuju untuk mengadakan kerjasama dalam mencari penyelesaian berkaitan masalah bio-lekatan yang menyebabkan syarikat itu mengeluarkan belanja yang besar untuk penyelenggaraan paip-paip di setiap pelantar miliknya. Bagi menjalankan projek ini, pihak kami menerima sumbangan dana daripada pihak Petronas bernilai RM1,008,200.00. Projek ini dijangka mengambil tempoh selama 12 bulan berakhir Mac 2020.

 

Tambah Dr. Aznawati, projek itu dijangka dapat disiapkan dalam jangkamasa yang ditetapkan memandangkan sokongan fasiliti dan pakar penyelidik yang bersesuaian.

 

“Dengan kemudahan fasiliti makmal yang lengkap dan terkini, dengan dibantu oleh ahli kumpulan yang juga memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing, saya yakin hasil dapatan projek ini akan dapat membantu menyelesaikan masalah bio-lekatan di dalam dan luar saluran paip di pelantar. Ini bakal meningkatkan hasil dapatan minyak yang sekaligus akan meningkatkan produktiviti pengeluaran minyak mentah syarikat yang terlibat. Saya percaya ini akan memberi impak luar biasa dalam industri minyak dan gas bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa”. Kata beliau ketika ditemui di booth  “R&D Showcase” sempena Majlis Konvokesyen UMT Ke-17 baru-baru ini.

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu