UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

Prof Dr Nora aini Pendaftar UMT baharu

Prof Dr Nora aini Pendaftar UMT baharu

Sunday, 01/01/2017

Share This Article :

Kuala Nerus, 1 Jan. – UMT buat pertama kalinya melantik profesor universiti, Profesor Dr. Nora’aini Haji Ali sebagai Pendaftar UMT baharu berkuat kuasa pada 1 Januari 2017.

Tempoh lantikan selama tiga tahun ini menyaksikan perlantikan pertama kali Pendaftar UMT terdiri daripada kalangan ahli akademik selepas Pendaftar terdahulu, En. Mohd Nor Shokri Abdul Rahman tamat tempoh perlantikan beliau.

Profesor Dr. Nora’aini merupakan seorang profesor dalam Kejuruteraan Kimia (Separation Technology) dengan pengkhususan dalam Teknologi Membran dan Penjerapan (Membrane & Adsorption) serta Teknologi Penukaran Biojisim (Biomass Conversion Technology) yang  bernaung dibawah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan di UMT.

Anak jati negeri Terengganu yang berasal dari Dungun ini memperoleh ijazah Doktor Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2003 telah memulakan karier bersama UMT yang dahulunya dikenali sebagai UPMT/KUSTEM pada tahun 1996 sebagai pensyarah.

Sepanjang berkhidmat bersama UMT, beliau pernah memegang beberapa jawatan pentadbiran penting seperti Ketua Jabatan Kejuruteraan Sains, Fakulti Sains & Teknologi (FST), Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FST, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UMT, Timbalan Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kelautan dan jawatan terakhir sebelum menjadi Pendaftar UMT adalah sebagai Pengarah Pusat Bakat Inovasi dan Akademik UMT disamping turut bergerak aktif sebagai Presiden Kelab Mutiara UMT yang dianggotai oleh kakitangan wanita serta isteri kakitangan warga UMT.

Sebagai profesor, beliau aktif dalam pelbagai aktiviti geran penyelidikan dalam dan luar negara dan telah menerima pelbagai anugerah penyelidikan yang antaranya seperti Anugerah Penyelidik Tahunan Terbaik dalam Majlis Anugerah Malim Ilmu UMT 2012 serta telah menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada pencapaian UMT.

Seluruh warga UMT mengucapkan tahniah kepada Profesor Dr. Nora’aini Haji Ali dan kami mendokong penuh segala usaha dalam menjalankan amanah dan tangungjawab yang diamanahkan.