UMT | Portal Rasmi Universiti Malaysia Terengganu

KARNIVAL KOMUNITI MADANI SEDILI KOTA TINGGI, JOHOR DARUL TAKZIM

KARNIVAL KOMUNITI MADANI SEDILI KOTA TINGGI, JOHOR DARUL TAKZIM

Monday, 22/1/2024

Share This Article :

  1. Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan Karnival Komuniti Madani Sedili Kota Tinggi bagi menterjemahkan kewujudan UMT sebagai sebuah universiti yang menjalankan aktiviti penyelidikan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.

 

  1. Penganjuran karnival ini juga mencerminkan UMT sebagai menara ilmu yang sentiasa cakna akan keperluan komuniti khususnya komuniti Sedili untuk dibantu melalui sumbangan kepakaran serta pelaksanaan program pemindahan ilmu di samping libatsama pelajar bagi memperkasakan bakat mahasiswa UMT.

 

  1. Sebagaimana iltizam pihak universiti untuk memastikan segala perancangan dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan, universiti meneruskan tekad untuk berkongsi kepakaran dalam bidang nic terutamanya perikanan kepada komuniti Sedili yang kebanyakannya bersandarkan sumber perikanan sebagai punca pendapatan.

 

  1. Selaras dengan keperluan sosio ekonomi komuniti Sedili, UMT melalui Pusat Kecemerlangan HICoE, Institut Akuakultur Tropika (AKUATROP) telah menjalankan kajian berkaitan sumber perikanan di kawasan terlibat dan mengadakan program pelepasan benih perikanan sempena penganjuran karnival ini melibatkan benih Ketam Bakau, Ketam Renjong dan ikan siakap.

 

  1. Program Pelepasan Benih tersebut bagi menyokong Kelestarian Sumber Perikanan Negara melibatkan tiga universiti iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

 

  1. UMT sebagai universiti utama dalam bidang sains marin dan sumber akuatik mempunyai peranan penting dalam perkongsian pengetahuan dan pemindahan teknologi kepada komuniti setempat melalui pengajaran dan pembelajaran, pembangunan penyelidikan, dan aktiviti pengembangan bagi memastikan kelestarian sumber dapat dikekalkan pada masa akan datang serta memastikan pemuliharaan ekosistem dalam keadaan terbaik.

 

  1. Dalam waktu yang sama, UMT juga membawa komuniti Sedili meneroka bidang-bidang lain yang mampu memperkasa taraf sosioekonomi mereka. Antaranya ialah Projek Kelulut, Projek Tanaman Cendawan Tiram dan Projek Penghasilan Sabun DIY. Program-program yang telah direncanakan ini akan dilaksanakan melalui program pemindahan ilmu berimpak melalui dana Kementerian Pendidikan Tinggi bernilai RM108,300.00.

 

  1. Projek yang bersifat universiti untuk masyarakat ini memfokuskan komuniti Sedili terutamanya belia, suri rumah, ibu tunggal, pesara tentera, nelayan dan asnaf.

 

  1. Pendekatan yang dilakukan adalah dengan melaksanakan latihan berbentuk keusahawanan, kemahiran serta program sokongan aktiviti perniagaan di mana kita mensasarkan agar peserta-peserta yang terlibat dalam projek ini mampu mengorak langkah untuk memastikan projek yang disertai lebih bersifat lestari.

 

  1. Bersempenan Program Karnival Komuniti Madani Sedili, seramai 100 orang pelajar UMT telah melaksanakan gotong-royong dan aktiviti pemindahan ilmu bersama komuniti di sekitar Sedili. UMT juga mengambil peluang menyalurkan sumbangan kit bantuan pasca banjir untuk 100 orang penerima.

 

  1. Program ini juga sebagai sumbangan UMT kepada komuniti setempat dalam meningkatkan pendapatan golongan B40 yang rata-rata menjadikan hasil sungai sebagai sumber pendapatan utama.

 

  1. Melalui projek pelepasan benih ini dijangka dapat meningkatkan stok populasi dan memastikan pengurusan sumber perikanan yang mapan dan lestari melibatkan kawasan-kawasan tertentu di daerah Kota Tinggi.

 

 

Dikeluarkan oleh :

 

Pusat Komunikasi Korporat

Universiti Malaysia Terengganu